UJIAN ITU NIKMAT



Assalamualaikum..

Buat semua pembaca yang disayangi, moga kita sentiasa dalam keadaan yang baik-baik saja ya! ^_^.
Buat yang pertama kali datang ke sini dengan sengaja atau tanpa sengaja, terima kasih diucapkan, moga selepas pembacaan kalian, ada ‘input’ baru yang mampu mengubah sekecil apapun dalam kehidupan kalian untuk menjadi muslim yang baik, InsyaAllah.


Sahabat, Cinta, Ujian, dan Ikhlas.
Semuanya adalah diantara struktur yang menjadi elemen dalam kehidupan manusia.


Sahabat, betapa ramai sahabat yang kita punyai, namun saat-saat genting nanti, kita akan lebih mengenali siapa sahabat sebenar kita. Tiada siapa yang mampu tinggal dibumi ini tanpa sahabat. Bersahabat dan berhubungan sesama manusia itu adalah fitrah tiap makhluk. Sahabat adalah insan yang terdekat dengan kita selepas keluarga kita, dan ada juga sahabat lebih dekat dengan dirinya, berbanding keluarga sendiri. Namun sejauhmana kita memiliki sahabat yang sebenarnya sahabat?





Cinta,
betapa ramai manusia yang membuang ibubapa, membuang keluarga demi memenangkan cinta. Seolah cinta itulah yang segalanya. Kisah hidup kita tidak seindah kisah cinta yang dicanang dalam filem Hindustan, sahabatku. Adakalanya kita terlalu mencintai orang itu, hingga kita menjadi buta hati dalam menilai sesuatu kebenaran.



“Bagaimana caranya kita nak tahu, orang tu betul-betul ikhlas cintanya kepada kita?” suatu petang setahun yang lalu saat berdiskusi tentang cinta, sahabat saya melontarkan persoalan yang mungkin juga sebagai topik perbincangan.

Saya mentah dalam soal cinta, saya tidak mempunyai kisah cinta yang hebat-hebat untuk dijaja kepada orang lain. Saya juga sedang mahu meraih sayang dan cinta. [ Ini bukan iklan cari jodoh okeh! ^^,]

“Cinta, Ikhlas.. duanya adalah misteri. Cintailah seseorang itu seadanya dia, teruskanlah niat yang baik itu jika cinta itu mengarahkanmu lebih mendekatkan cintamu buat tuhan. Tapi, jika cinta itu membuatmu jauh dari tuhan, redhalah untuk melepaskan cinta itu pergi, kerana mungkin cinta itu akan membunuh hubunganmu dengan tuhan.”

Betapa ramai dikalangan kita terlalu mencintai manusia melebihi cintakan Tuhan. Betapa syiriknya hati itu tanpa sedar. Betapa ramai yang menggadaikan cinta buat Tuhan untuk meraih cinta dan perhatian manusia. Betapa ramai yang sanggup berkorban nyawa, membazirkan air mata untuk mendapat cinta manusia, yang tidak berhak untuk memilikinya. Ada juga yang sanggup membalas dendam kerana tidak berjaya memiliki orang yang dia sukai. Bila hati sudah dirasuk dan dihasut dengan bisikan syaitan, dia tidak akan pernah puas selagi orang itu tidak merasa sengsara. Moga terlindung daripada menjadi seperti ini.

Cinta yang sebenarnya cinta, adalah jika dia lebih mendekatkan kita kepada pemilik segala cinta.

Cinta yang sebenarnya cinta, adalah apabila kita berani untuk menghadapi kedatangannya, dan berani juga untuk melepaskannya.

Cinta itu tidak pernah berlebihan, cintai manusia sebaiknya, raihlah sayang Tuhan sesungguh-sungguhnya. Andai ditakdirkan si dia bukan tertulis di loh mahfuz buat kita, terimalah dengan redha. Redha itu memerlukan usaha. Usahalah untuk berlapang dada dalam menerima ketentuan itu. Walau pahit dan terlukanya perasaan, yakinlah Allah tidak menjadikan tiap sesuatu dengan kebetulan, semuanya pasti ada sesuatu yang Allah mahu ajarkan buat kita.



Hidup adalah ujian. Ujian tidak bermakna hanya kesusahan dalam hidup. Sedang kaya, mudah, susah, bahagia, derita, sakit, sihat, kenyang, Lapar, sempit, lapang, semuanya adalah ujian. Susah senang itu adalah ujian. Betapa lebih ramai yang lulus dalam ujian kesusahan, tapi sangat sedikit yang lulus apabila diuji dengan kesenangan. Ujian itu adalah nikmat sahabatku.

                  Ujian itu Nikmat. Seperti makanan.
Makanan itu tidak bermakna dan tiada gunanya jika tiada ujian lapar.
Makanan yang sedap itu juga sudah tidak terasa kelazatannya jika perut sudah kenyang. 
Maka, ujian itu membuahkan nikmat.
Sebab itu, Ujian itu Nikmat. Nikmat itu juga menjadi Ujian. Maha bijaksananya Allah.

Ujian yang mendatangi kita adalah tapisan. Tapisan untuk kita menjadi manusia yang berkualiti dalam meneruskan kehidupan.

Tapisan?

Ya, tapisan. Pernahkah kita terfikir, saat kita difitnah manusia, saat kita dihinakan manusia, siapa lagi sahabat-sahabat yang akan terus disisi kita, terus menyokong kita, terus mempercayai kita?
Berapa ramai juga sahabat-sahabat yang sangat rapat dengan kita, meninggalkan kita hanya sebab-sebab tadi? Mereka tidak mengadili kita sebaiknya.
Di situ juga Allah sudahpun memberikan kita satu pelajaran. Pelajaran untuk memberikan kita ilmu dalam mengenali sahabat. Allah sayangkan kita. Justeru itu, DIA tidak mahu kita tersilap dalam memilih sahabat.


Sabarlah jika kita ditimpakan dengan ujian dalam kehidupan, sedang hidup ini juga adalah ujian yang tidak akan pernah berakhir, kerana akhirnya semua ujian ini apabila kita meninggal dunia. Maka tiada usaha lain untuk kita berjaya di akhirat, selain di dunia ini.

Bersabarlah buat yang sedang teruji. Sungguh semua ujian ini ada akhirannya, pasti akan berlalu. Kuatkan semangatmu, Yakinlah Allah tidak menjadikan semua ini dengan sia-sia. Banyakkan pengaduan kepada tuhan, ketenangan itu ada di situ. Jadikan sedih itu sebagai jambatan untuk mengubah diri dan lebih mendekati cinta Tuhan. Allah itu dekat. Lebih dekat dari urat leher kita sendiri.

IKHLAS. 

Betapa ikhlas itu dalam rahsia Allah. Hanya Allah yang tahu letaknya ikhlas itu dimana, kerana nilaian Allah tidak sama dengan Nilaian manusia. Sedang kita merasa ikhlas itu juga belum lagi ikhlas, Wallahu’alam, Ikhlas itu milik Tuhan, Ikhlas itu kepunyaanNYA.
Sahabatku, bersabarlah jika di uji dengan kerenah manusia yang mendatangkan kemarahan kita, atau mencabar kesabaran kita. Kuatkan tawakkal dan pergantungan hati kita kepada Allah. Allah itu Maha Adil, mintalah kepadaNya, Dia maha mendengar, Maha melihat, Maha mengetahui, Maha memahami. Jiwa tiap makhluk itu dalam genggamannya. Bila kita serahkan semuanya pada Allah, ujian tadi akan menjadi terlalu kecil jika dibandingkan dengan rahmat dan kasih sayang Allah.

Sedang ujian itu tanda Sayang Allah buat Kita. Balaslah panggilan sayang Allah itu dengan redha dan rasa syukur, selepas ujian kesusahan itu berlalu, kita akan menilai bahawa kita telah belajar sesuatu yang baru daripadanya. Jangan mengeluh dan putus asa dengan rahmat Allah.

Kita perlu kuat untuk hadapi ujian kehidupan. Ingat kata-kata saya, Ujian itu adalah penapis. Penapis untuk kita dapatkan yang terbaik dalam kehidupan. Moga kita terus menjadi muslim yang terbaik, dunia &Akhirat.Amin!

Wassalam.
ijja1912

2 Cakap2 Belakang..:

  1. Assalammua'alaikum warahmatullah..

    Input yang bagus,alhamdulillah.Ujian itu memang nikmat,kerna untuk menjadi kekasih Allah,akan diberi sebanyak ujian untuk hambaNya.

    Moga kita mampu dan kuat dalam menghadapi ujian.Beriman kepada Allah dan istiqamahlah!

    BalasPadam
  2. W'SALAM, Suhana.

    Terima kasih. Moga kita terus berkongsi ilmu dalam hidup ini, sebagai bekal untuk dibawa pulang menghadapi Ilahi.

    BalasPadam

Silakanlah mengkritik dan saranan.