Agama Vs Bangsa ll Kita Yang Memilih



Assalamualaikum..

India Otak, Cina Otak, Otak Melayu.. begitu tajuk entri sebelum ini. Alhamdulillah baru hari ini mampu untuk memberikan feedback, berkenaan tajuk tersebut.

Pertama sekali, perlu diingatkan, saya bukanlah seorang ahli politik, aktivis politik, atau penganalisis politik, dalam masa yang sama saya juga bukanlah seorang yang ’Buta Politik’.. Tabiat suka memerhatikan, membaca, dan sering membuat ’homework’ mencari bahan tambahan mengenai ilmu politik, dan sekali-sekala menghabiskan duit membeli dan membaca buku-buku tentang perjuangan sesuatu politik, dan parti-parti tertentu dalam Malaysia itu yang sedikit sebanyak membantu dalam sesuatu ’homework’ yang saya lakukan. Secara tanpa sengaja juga saya dikelilingi beberapa orang sahabat-sahabat yang meminati politik, dan tanpa sengaja juga saya mengenali dekat beberapa individu yang giat dalam aktiviti politik.

Persoalan yang saya tinggalkan pada entri yang sebelum ini mencetuskan beberapa jawapan. Deretan jawapan dan pendapat itu adalah hak masing-masing, dan saya tidak akan membetulkan atau menyalahkan pendapat setiap penulis. [ Terima kasih diucapkan buat semua yang sudi memberikan pendapat ]

Berapa harga Otak Melayu? [ Terserah anda, mahu meletakkan berapa harganya ]..
Tetapi bukan itu isu yang mahu diketengahkan.
Isunya disini ialah, mana yang perlu diperjuangkan.. perjuangan bangsa atau agama? Beberapa tahun yang lalu, saya tidak dapat menahan otak saya untuk berterusan memikirkan persoalan ini. Pernah juga terjadi, saya menjadi keliru dalam persoalan ini.

Bangsa dan agama adalah dua perjuangan yang sama.. Setiap individu tergolong dalam sesuatu etnik, suku, ataupun bangsa, yang mana bangsa itu akan memberikan sesuatu identiti kepada setiap individu tadi. Namun demikian, bangsa memerlukan agama untuk menjadi panduan dalam setiap kehidupan. Agama tadilah yang akan memisahkan beberapa amalan ’khurafat’ yang terdapat dalam sesuatu ritual amalan dalam satu bangsa. Agama sebagai pelengkap dan panduan dalam kehidupan untuk menuju kehidupan yang lebih abadi. Sekiranyalah hidup ini hanya ditafsirkan hanya untuk hidup di dunia semata, mana mungkin Allah ciptakan dan datangkan hari kematian untuk setiap makhluk yang bernyawa di dunia ini. Bukankah hanya dengan kematian itu yang akan menemukan setiap kita dengan ’cinta’ Yang lebih abadi?

Pernah seseorang memberikan pendapatnya kepada saya, bahawa perjuangan bangsalah yang akan menentukan perjuangan agama akan dapat diteruskan. Beliau menambah, kita perlu mengutamakan perjuangan bangsa Melayu, dan selepas itu barulah Islam dapat diperjuangkan dengan aman dan berterusan. Maka dengan itu, menurut beliau adalah perlu untuk kita menyokong perjuangan bangsa terlebih dahulu, dan perlu diutamakan. Beliau memberikan hujah bahawa, sekiranya kita tidak memperjuangkan bangsa Melayu dan membiarkan bangsa lain yang memerintah negara ini, besar kemungkinan, agama Islam tidak lagi dapat diamalkan secara aman, sepertia apa yang berlaku di negara Thailand. Justeru itu, adalah penting beliau menekankan bahawa perjuangan Melayulah yang lebih pertama. [ Apa pendapat anda tentang pendapat ini? ]

Pernah juga seseorang menyuarakan pendapatnya kepada saya, ahli politik yang mengaku dirinya memperjuangkan Islam, hanya menggunakan agama sebagai alat untuk meraih undi, dan menang kerusi di Parlimen. Beliau juga menambah..apalah perlunya memperjuangkan Islam, sedangkan bagi beliau, Semua agama adalah sama, semua agama mengajarkan yang baik-baik untuk setiap penganutnya..1Malaysia katanya, jadi apa perlunya kita sungguh-sungguh memperjuangkan Islam, bukankah tiada paksaan dalam menganut agama? [ Bagi anda yang membaca entri ini, apa yang terdetik dalam hati anda saat ini? ]

Sekadar cetusan pendapat, saya lebih suka jika perjuangan agama dan bangsa itu diselarikan, bukankan bangsa dan agama itu saling memerlukan dan saling melengkapi? Jadi mengapa perlunya kita memisahkan perjuangan antara keduaya? Apa yang saya lihat, pemisahan antara perjuangan agama dan bangsa inilah yang membuat kita berpecah, dan tidak bersatu. Bukankah Melayu terkenal dengan pepatahnya ’Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul’? Bukankah bangsa Melayu juga terkenal dengan kata-kata ’Bersatu kita teguh, bercerai kita Roboh’..Apa yang terjadi hari ini, kita bukan lagi seperti apa yang digambarkan dalam pepatah tadi. Masing-masing taksub dengan fahaman sendiri, sehingga ketaksuban itu membutakan mata hati kita untuk menilai dengan lapang dada tiap kebenaran yang terhidang didepan mata. Sekaligus menumpulkan daya fikir kita untuk keluar daripada kongkongan fahaman taksub tadi.

Atas fahaman taksub tadilah yang akan mengakibatkan kita berpecah, dan meyakini bahawa perjuangan masing-masinglah yang lebih tepat. Saling menyalahkan yang lain, menjatuhkan yang lain yang kita anggap bertentangan daripada fahaman masing-masing. Ketaksuban ini menyebabkan kita terpecah, Sedangkan bukankah kita seagama dan dari suku bangsa yang sama? Jadi mengapa kita perlu jatuh menjatuhkan, dan memprovok pihak yang lain?

Menurut Perkara 153 dalam perlembagaan – kedudukan istimewa orang-orang Melayu tanpa menafikan kedudukan yang sah kaum-kaum lain, definisi Melayu dalam perlembagaan mencirikan tiga [ 3 ] asas iaitu ;

1- Bertutur dalam bahasa Melayu
2- Beragama Islam.
3- Mengamalkan adat istiadat Melayu.


Bukankah daripada tiga ciri diatas cukup membuktikan bahawa bangsa dan Agama itu saling melengkapkan? Contohnya begini, jika seseorang itu membuang agamanya, bukankah juga secara automatiknya dia membuang bangsa Melayunya? [ Jika menurut pemahaman daripada perkara 153 dalam perlembagaan tersebut ]
Secara logiknya, cukup jika ciri dalam perkara 153 diatas seolah menyatakan bahawa :
Melayu itu Islam dan Islam Itu Melayu.

Namun demikian, adakah masih praktikal ungkapan diatas? Sedangkan seperti yang kita maklumi.. sudah ramai individu yang berbangsa Melayu ‘murtad’ atau keluar daripada agama Islam dan menganut agama lain, sekaligus memberikan persoalan baru di minda saya, adakah tepat Melayu itu Islam dan Islam Itu Melayu? Sedangkan ramai Bangsa lain selain Melayu yang menganut agama Islam, Bangsa Cina Yang Muslim, India Muslim, Sikh, dan bangsa-bangsa lain. Ini memberikan satu lagi persoalan baru dan mencambahkan lagi persoalan lain difikiran saya, yang adakalanya seolah membebankan fikiran, mahu tidak mahu, saya secara tidak sedar meluangkan masa yang agak banyak untuk terfikir persoalan ini. Mencari jawapan dan jalan keluar daripada kekeliruan ini. Bagaimanakah pula kedudukan istimewa bangsa lain yang beragama Islam tetapi bukan Melayu? Adakah adil jika Islam hanya membantu satu-satu kaum sahaja tanpa memandang kaum lain yang beragama Islam?

Sekiranya setiap individu yang berbangsa Melayu itu adalah Islam, dan Islam itu Melayu, bagaimana pula penerimaan bangsa lain? Yang Islam tetapi bukan Melayu, adakah mereka patut menghilangkan identiti bangsa mereka untuk mendapatkan hak istimewa orang Melayu?
Bukankah tuhan menjadikan bangsa untuk proses berkenalan dengan suku bangsa yang lain, Dan Islam wujud sebagai satu jambatan penyelamat dan untuk menyatukan semua bangsa?

Jika sejarah empayar Kesultanan Melaka ditelusuri, dapat kita lihat, Empayar Melaka runtuh kerana diserang Portugis, Belanda, dan Inggeris, yang mana pada masa itu Empayar Melaka tidak lagi sepenuhnya mengamalkan ajaran Islam.

Adakah menjadi masalah untuk kita memperjuangkan Melayu dan Islam sekaligus? Adakah Islam dan bangsa itu perlu dipisahkan menjadi dua [ 2 ] perjuangan yang berbeza? Sedangkan jika diteliti, Melayu akan jadi kuat jika dasarnya dikuatkan dengan berpegang pada nadi Islam sekukuhnya. Justeru itu mengapa patut dipisahkan keduanya, Sedangkan keduanya saling memerlukan dan saling berkaitan? Bagaimanakah pula caranya untuk kita jernihkan semula kekeruhan dalam inti perjuangan itu, Memperjuangkan Agama ataupun Bangsa? Jom sama-sama fikirkan dan Berfikir..

WallahuTa’alam..

P/S : Pendapat seseorang berkenaan semua agama adalah betul membuat Saya tidak selesa dengan kenyataan tersebut. Saya menyanggah jika ada sesiapa lagi yang menyatakan agama Islam sama dengan agama yang lain, Kerana agama Islam nyata berbeza dari yang lain. Bagi saya Orang yang menyatakan semua agama adalah sama adalah pendapat orang yang tidak beragama. Kalaulah semua agama itu sama, jadi apa perlunya kita menganut agama lagi?

1 Cakap2 Belakang..:

  1. Salam singgah, saya rasa bersetuju dengan kenyataan sdr tentang bagaimana baiknya perjuangan agama dan bangsa diselarikan sebagaimana dizaman Rasulullah, kaum ansar tetap kaum yang dihormati sebagai penduduk asal Madinah dalam mana juga dimuliakan darjat mereka kerana pengorbanan mereka kepada Islam.

    BalasPadam

Silakanlah mengkritik dan saranan.